Saturday 29 September 2012

Benci dan Cinta #20

Aliff berdiri di laman rumahnya. Memandang bintang-bintang dan bulan di atas. Malam ni bulan penuh. Cantik. Tapi abang pernah cakap. Kat sini memang lah nampak cantik tapi kat sana berkerak, bergerutu. Semua orang puji kecantikan bulan sebelum tahu bulan tidaklah secantik yang digambarkan. Setelah ada kajian yang menunjukkan bagaimana bentuk bulan yang sebenar. Ramai mungkin cakap. Ah. Tertipu rupanya selama ni. Walaubagaimanapun sehingga kini, penduduk bumi masih tetap memuji kecantikan bulan. Regardless cerita-cerita sebenar tentang bulan. Sebab bulan adalah ciptaan Allah s.w.t yang tidak boleh ditukar ganti. Tiada satu manusia pun yang mampu mencipta bulan. Memang tiada. Sama macam tiada seorang abang yang boleh di tukar ganti. Ah. Rindu pada Amer. Walaupun arwah Amer bukan abang kandungnya. Tapi dari arwah Amer lah dia kenal erti kasih sayang. Kasih sayang dari seorang abang. Kasih sayang dari seorang ayah. 

"Nama penuh Aliff apa ek?" teringat pada petang mereka bermain bola di halaman rumah 15 tahun yang lalu. Seminggu setelah ibunya berkahwin dengan papa Amer. Mereka sudah menjadi seperti belangkas. Adik perempuan Amer ketika itu baru berumur 5 tahun. Ibu mereka meninggal dunia ketika melahirkan Amirah Hawani. Mengenali kasih sayang seorang ibu buat pertama kali adalah kenangan paling indah buat Amirah ketika itu.

"Aliff Hafrizal" jawab Aliff pendek sambil melemparkan bola pada Amer. Amer menangkap dengan cekap. Kemudian dia termenung sebentar. Seperti berfikir. Tiba-tiba dia tersenyum girang.

"A.H?" jeritnya.

"A.H?" Aliff mengulang kata-kata Amer. Amirah Hawani yang dari tadi berada di situ sambil memegang teddy bearnya tiba-tiba menjerit.

"A.H, A.H,A.H..." kemudian dia berlari mengelilingi halaman rumah. Papanya yang duduk di meja sambil membaca surat khabar di tepi laman memandang mereka.

"Kenapa tu Amer? Jangan gaduh dengan adik" 

"Tak papa. Papa tahu tak? Aliff ni memang adik Amer" huh? papanya mula menggaru kepala. Kenapa pulak budak ni? Petang-petang macam ni takkan kena sampuk kot. Amer berlari ke arah papanya. Aliff turut mengikut dari belakang. Amirah turut berlari menerkam lengan papanya sambil teddy bearnya di peluk.

"Cuba papa fikir. Nama Amer, Amer Haikal. Nama Mira. Amirah Hawani. Dan Aliff pulak Aliff Hafrizal. Bukan ke tu A.H, papa?" Papa memandang mereka bertiga lalu tergelak besar. Betul jugak.

"Macam dalam drama cina kan, papa. Yang ada kelahiran semula tu" tiba-tiba Amer keluar ideanya. Ni sebab terlalu terpengaruh dengan drama cina lah ni.

"Ish, kita orang Islam mana percaya benda-benda ni. Tapi percaya ini adalah takdir dari Allah s.w.t. Allah dah anugerahkan adik pada Amer. Tak kisahlah macam mana caranya pun. Sekarang Aliff adalah adik Amer dan abang kepada Mira. Dalam rumah ni, tak ada istilah tiri tau. Ingat sampai bila-bila. Amer, Aliff dan Amirah adalah anak papa sampai bila-bila" papa tersenyum. Memandang mereka dengan penuh kasih sayang.

"Yeayyy!!" Mira sudah menjerit kegirangan. Mereka semua ketawa riang. 

"Amboi, sakan gelak ya. Apa yang gembira sangat tu?" mama keluar sambil menatang dulang yang berisi air tea dan goreng pisang. Aliff segera mendapatkan mamanya.

"Mama, mama" Mama meletakkan dulang di atas meja sebelum tunduk menyerahkan telingannya pada Aliff.

"Boleh tak abang Amer dan Mira jadi adik beradik Aliff yang betul?" mama sudah tersenyum mendengar bisikannya. Mama memegang bahu Aliff.

"Mestilah boleh" 

"Yeayy" Amer dan Amirah sudah melompat keriangan. Aliff turut menyertai mereka.


Ah. Sungguh. Rindu pada Amer. Rindu pada mama. Semoga mereka tenang di sana. Aliff menghelakan nafasnya. Memandang sekeliling. Tiada yang berubah kecuali ketiadaan Amer. Sedikit rasa kesal wujud dalam dirinya. Kalaulah dulu dia dengar cakap abangnya duduk di rumah ini bersama-sama dengan abang dan papa. Sudah tentu banyak lagi kenangan yang boleh mereka cipta.

Bayangkan dia bermain gitar sambil abangnya menyanyikan lagu english kesukaanya. Bayangkan masa cuti hujung minggu, dia, abang dan papa sama-sama basuh kereta, siram pokok bunga, bersihkan halaman rumah, potong rumput, bagi ikan makan. Ah, mengingatkan semua itu hanya memedihkan jiwanya. Tapi dia sedar, masa tidak boleh diundur semula. Apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya.

Aliff mengambil tempat duduk di meja di laman rumah. Termenung lagi. Sunyi. Sunyi rumah ni. Papa bercuti di kampung. Pulang ke rumah lama nenek. Kata papa nya. Setelah dia mengambil alih syarikat papa. Papa akan bercuti sekurang-kurangnya sebulan sekali di kampung. Dia tidak kisah. Asalkan papa bahagia. Dan dia turut bahagia. Amirah. Dia sedang melanjutkan pelajaran di luar negara dalam jurusan kedoktoran. Jauh menyimpang dari kursus perniagaan yang dia mahukan. Lebih tepat Aliff sendiri mahu Amirah mengambil kursus perniagaan. Senang supaya satu hari nanti dia serahkan perniagaan papa kepada Amirah. Anak papa yang lebih berhak. Tapi papa pula menyokong Amirah dan tidak bersetuju dengan Aliff.

"Amirah teruskan saja dengan bidang yang Amirah suka. Papa sokong saja apa keputusan Amirah. Tentang urusan syarikat jangan risau. Abang Aliff akan uruskan. Papa nak serahkan semua urusan syarikat pada Abang Aliff. Papa nak rehat nak beribadat sebelum tutup mata" 

Mengingat kata-kata papa sungguh buat hati dia pedih. Dia tahu papa sayangkan dia. Selalu fikirkan masa depannya. Tapi kadang-kadang dia penat dengan semua ni. Menurut kata-kata papa tanpa papa fikir apa yang dia suka. Apa impiannya yang sebenar. Papa tak pernah tanya. Dan kalau pun papa tanya. Dia sudah pasti tak sanggup untuk mengecewakan papanya.


Tiba-tiba Aliff teringatkan sesuatu. Sekeping sampul surat yang pernah ditinggalkan oleh Amer. Sampul surat yang kemas digam 4 tahun yang lalu. Tidak pernah sedikit pun dia terfikir mahu membukanya. Sebab surat itu adalah untuk seseorang. Seorang gadis yang bernama Aleeya. Aliff menghela nafas. Dia sebenarnya takut untuk menyerahkan surat tu pada Aleeya. Risau surat itu mungkin bakal membuat Aleeya kembali bersedih. Risau isi surat itu juga bakal membuatkan Aleeya kembali menangisi pemergian Amer. Dia buntu. Namun perlahan-lahan jarinya mendail nombor Aleeya.






bersambung....

Benci dan Cinta #19

"Sayang, I'm sorry. Please jangan buat saya macam ni. Saya betul-betul sayangkan awak. Please"
Perjumpaan di cafe yang di penuhi dengan orang ramai membuatkan aku rasa lebih selesa. Juga yang lebih penting lebih selamat. Aku duduk berhadapan dengan Imran. Aku memeluk tubuh. Pandanganku dialih ke tingkap luar. Tidak mahu menatap wajah Imran. Tidak mahu. Menyampah. Suara Imran yang lebih lembut kali ini bagi aku hanya lah kepura-puraan untuk mengembalikan hubungan yang sudah aku putuskan beberapa hari yang lalu. Kepura-puraan menjadi manusia yang kononnya berhati lembut. Seorang gentlement. Konon.

"Sudah-sudah lah, Imran. Tolonglah terima kenyataan ni" luah aku. Aku menekankan setiap butir bicara supaya dia memahami yang aku benar-benar maksudkan perpisahan ini.

"Saya akan berubah. Demi awak saya akan berubah. Please" Demi aku? Huh. Tergelak kecil aku dalam hati. Tapi bukanlah gelak kerana rasa ianya kelakar. Lebih kepada kesal. Kesal.

"Tolong jangan berubah kerana saya. Saya bukanlah manusia yang patut awak sandarkan untuk berubah. Berubah lah demi Allah" Pandangan aku menuju ke arahnya. Memandang wajahnya yang tidak keruan buat aku rasa simpati. Bukan rasa simpati yang boleh membuatkan hati aku kembali untuk menerimanya. Tapi tiba-tiba rasa simpati ini wujud bila teringat kata-katanya setahun yang lalu.


"Aleeya, saya benar-benar berharap hubungan kita kekal hingga ke jinjang pelamin. Saya tahu awak gadis yang baik. Saya harap awak boleh terima kelemahan saya. Saya pernah kecewa banyak kali. Putus tunang dua kali. Kedua-duanya hubungan yang sudah lama saya jalinkan. Lebih dari 5 tahun. Kali ini saya tak ingin 5 tahun, 1 tahun pun saya tak sanggup"

Dan waktu itu adalah pada hari selepas aku di tunangkan dalam keadaan yang tidak aku rela sepenuh hati. Memenuhi niat kedua orang tua masa itu lebih utama. Tidak ingin melihat kedua orang tuaku susah hati melihatkan aku saban hari menangisi pemergian Amer. Dan kala itu juga, tiada apa yang sudah aku nampak. Menerima Imran pada masa itu mungkin perlahan-perlahan dapat mengubati hati yang parah. Tapi akhirnya, tiada rasa tenteram pun yang wujud dalam hati. Ingatan terhadap Amer lebih kuat menyala.

"Saya jatuh cinta pandang pertama pada awak. Saya mencintai awak tanpa sebab dan saya ingin hidup  dengan awak seumur hidup saya. Tidakkah cukup ini untuk melembutkan hati awak?" Aku memejamkan mata. Ayat ni. Sudah kali yang ke berapa aku dengar. Ayat ini. Buat aku bulu roma aku meremang.

"Imran, saya dah tak tahu macam mana nak terangkan kat awak lagi. Saya tak boleh terima awak. Sejak dari mula lagi. Saya bukan untuk awak. Awak carilah gadis lain yang lebih baik dari saya. Yang boleh mencintai dan menerima awak seadanya" Imran memandang kecewa pada aku. Namun, pandangannya masih tepat memandang aku. Mengharapkan apa yang aku katakan dusta semata-mata. Mungkin.

"Aleeya..."

"Imran, saya dah buat solat istikharah. Maaf. Dan saya sudah temukan jawapannya. Belajarlah untuk menerima kenyataan kali ini. Awak cubalah bukak hati untuk terima ketentuan dari Allah. Ada perancangan yang lebih baik sebenarnya dari dia. Cubalah percayakan Dia" entah kekuatan yang dari mana aku dapat untuk menasihati Imran. Nyata kekuatan ini sudah tentu dari Dia. Dalam masa yang sama aku juga rasa simpati. Aku tahu kesannya bagaimana. Sebab dengan ini bermakna sudah kali yang ke tiga dia menghadapi ujian yang sama. Aku simpati. Bukan aku tak punya hati.

"Dia sedang merancang yang lebih baik untuk awak...."

"Cukup" aku terkejut. Dia kelihatan sudah sesak dengan nasihat aku. Aku cuba bertenang.

"Tak perlu awak nak cakap banyak-banyak. Cara awak cakap macam saya ni dah tak guna lagi. Saya tak perlukan nasihat konon simpati macam tu lagi. Tapi awak jangan ingat saya akan senang-senang lepaskan awak. Ingat ni sampai bila-bila. Saya tetap akan dapatkan awak" dia mendengus kasar lalu bangun dengan ego meninggalkan cafe. Aku sudah terbeliak mendengar amarannya.

"Astaghfirullahalazim" aku mengurut dada. Rasa berdebar dan bimbang tiba-tiba menjalar dalam hati. Ya Allah, jauhkan lah aku dari sebarang bala bencana dan kejahatan manusia.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia "Yang menguasai sekalian manusia" Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. 
Surah An Nas (1-6)


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Seminggu telah berlalu. Pertunangan di putuskan. Perkahwinan juga di batalkan. Semuanya atas kehendak mak dan ayah. Dan juga harapan aku sendiri. Keluarga Imran juga redha dengan keputusan kami sekeluarga.  Cincin pertunangan juga telah dipulangkan. Imran sejak dari hari itu juga sudah menghilangkan diri. Aku terasa punya ruang untuk bernafas. Namun, jauh di sudut hati aku doakan Imran benar-benar tenang dengan keputusan ini. Semoga dia boleh belajar menerima ketentuan ini.

Aku menatap skrin laptop di hadapan. Menaip artikel wawancara bersama ahli perniagaan wanita yang terkenal. Kisah kejayaan seorang ibu tunggal dan berdikari yang menyara 3 orang anak yang masih kecil satu masa dahulu setelah pemergian suaminya. Memaksanya menguatkan semangat memulakan perniagaan kecil-kecilan. Membuat jualan langsung dari rumah ke rumah bukan sahaja memenatkan malah pengalaman biasa apabila dihalau, dimaki dan bermacam-macam lagi ujian yang membuatnya memaksa diri untuk terus kuat semangat demi tiga perut yang perlu diisi di rumah. Meninggalkan anak-anak kepada salah seorang jiran yang baik hati bukan tidak meluluhkan hati seorang ibu. Anak-anak yang semakin membesar dengan jarang-jarang dia di sisi bukan tidak meragut sebahagian dari jiwa keibuannya. Tetapi demi masa depan anak-anaknya nanti. Dia terpaksa butakan mata dan pekakkan telinga buat sementara. Namun, berkat usahanya itu akhirnya berjaya membuatkannya tersenyum sendiri. Anak-anak yang berjaya dan soleh. Dan sekarang masa bersama anak-anak dapat diluangkan. Perniagaan jualan langsungnya kini berjaya mendapat tempat di hati pembeli. Malah, dia berjaya membuka syarikatnya sendiri. Memasarkan produk-produk sendiri. Nyata segala usaha, penat lelah dan air mata yang mengalir selama ini tidak terbazir sia-sia. Dia bersyukur dengan kekuatan dan rezeki anugerah dari Allah s.w.t kepadanya.

"Leeya, buzy nampak" satu suara dari belakang hampir membuatkan jantung aku melompat. Aku mengurut dada sambil berpaling ke belakang. Sofea.

"Kau ni, kalau ye pun tak boleh bagi salam ke? Kalau aku kena heart attack kat sini macam mana?" Sofea mencebik bibir mendengar kata-kata aku. Ah, Sofea. Bukan makan saman minah ni.

"Sorry, dear" Sofea buat nada merajuk. Aku mencebik bibir melihatnya pula. Kemudian kami tergelak kecil. Sofea sudah menyandar cantik dekat meja aku. Mentang-mentang dia ada lesen besar kat sini. Anak saudara bos. Suka-suka hati dia je nak kacau orang.

"Hah, kau nak apa ni? Nak ajak gosip?" usik aku. Aku tergelak kecil memandang wajah Sofea. Dia satu-satunya kawan aku masa belajar di universiti dulu yang sama-sama bekerja dengan aku di syarikat ini. Mula-mula jumpa Sofea kat sini aku tahu hidup aku bakal ceria sentiasa. Tapi yang sangat mengejutkan aku bila dapat tahu dia anak saudara Tuan Arshad. Lagilah ceria Sofea kat sini. Bapa saudaranya sudahlah sporting. Namun dia masih dihormati kerana bila datang hal kerja, memang dia seorang yang tegas.

"Teman aku pergi shopping petang ni, boleh?" aku menjeling ke atas. Shopping lagi.

"Ala, please. Aku nak cari handbag baru. Minggu depan aku kena pergi majlis perkahwinan sepupu Syamir. Tak syoklah kalau asyik pakai handbag lama je" Heh. Handbag lama Sofea berapa lama lah sangat. Paling lama sebulan. Paling sekejap. Hmm...

"Aku ada idea untuk kau ni. Nak dengar tak?" aku mengangkat kening sebelah. Sofea mula rasa suspicious dengan gaya aku. Tapi kemudian dia cepat-cepat mengangguk.

"Okey, idea apa? Best ke?" laju je dia kalau bab bab nak bagi idea menghabiskan duit ni.

"Well, kau borong banyak-banyak terus handbag tu. Nanti senang tak payah nak keluar banyak-banyak kali. Jimat minyak kereta kau. Jimat lagi kalau beli banyak-banyak dapat diskaun. Atau dapat percuma beg baru,kan" Sofea mencekak pinggang.

"Amboi,amboi, kau ingat aku ni nak pergi beli handbag kat pasar malam ke, huh? Ala...please-please teman aku. Pleaseee" Aku tersenyum. Bila dah macam tu maknanya Sofea memang tengah kemaruk nak shopping.

"Yela yela, Sofea. Masa bila lah pulak aku pernah nak hancurkan harapan kau yang suci murni tu" akhirnya aku mengalah. Bukan tak nak temankan tapi sengaja nak tengok reaksi Sofea.

"Okey, sayang kau lebih lah, Leeya, hik" Bukan main sakan gembira. Asal kau bahagia, Sofea.

"Aleeya, Aleeya" terlihat Salim yang datang berlari-lari anak dengan muka yang tak dapat nak ditafsirkan. Sambil pegang sesuatu di belakangnya. Nampak macam gembira. Nampak macam cuak. Entah. Aku dan Sofea mula buat muka pelik. Salim berhenti berdekatan meja aku. Menarik nafas tercungap-cungap.

"Heh, Salim. Kau ni dah kenapa? Baru lepas jumpa hantu eh?" tiba-tiba Sofea menegur dengan tekaan entah apa-apa. Aku menjeling ke atas mendengar nya.

"Tak tak. Huh. Ni ha...tadaa" sejambak bunga di keluarkan dari belakangnya. Aku dan Sofea mula memandang antara satu sama lain. Bukan mereka tak tahu perangai gila-gila Salim ni. Tiba-tiba datang angin tak betul dia. Benda yang tak pernah dia buat pun boleh buat orang sakit jantung. Salah satunya ini.

"Eh, Salim. Mentang-mentang kau tahu Leeya ni dah putus tunang. Suka-suka hati je kau nak mengurat dia eh. Kau tahu tak kau kena lepas ujian aku dulu baru boleh ngorat Leeya" Salim menjeling pada Sofea.

"Eh, kau diam boleh tak?" Aku dah menggeleng-geleng kepala. Lagi satu, Sofea memang pantang jumpa Salim. Macam anjing dengan kucing.

"Apa hal sebenarnya ni Salim?" tanya aku. Mahu mengelakkan Sofea memanjangkan pertengkaran dengan Salim.

"Ada someone kasi bunga ni kat kau. Nah" Someone? Siapa?

"Siapa yang bagi?" tanya aku. Sofea sudah mengintai-intai bunga di tangan Salim. Dengan segera dia menarik kad pada balutan bunga. Sofea mengerut-ngerut dahi membaca tulisan di dalam kad. Sofea membeliakkan mata lalu memandang aku. Aku mengangkat kening sebelah.

"Siapa..?" tanya aku berhati-hati bila tengok gaya Sofea yang mencurigakan. Sofea menghulurkan kad kepada aku. Salim sudah mengintai-intai.

"Eh, kau pergi dok jauh-jauh boleh tak? Sibuk je nak baca kad orang" Sofea sudah memarahi Salim. Salim menjelir lidah pada Sofea sebelum berlalu pergi. Huh, buruk perangai. Tak padan dengan dah tua. Tua ke? Tua la jugak daripada budak-budak tadika. Aku berkerut membaca ayat-ayat berbunga dalam kad.


I love you more than thousands years
I'll wait you until your stone heart melt
I love you forever
I love you, sayang
                        
                                          Imran




"Macam cheezy je ayat dia. Dah. Meh aku buang bunga ni" Sofea menarik kad pada tangan aku. Bunga yang diletakkan kat atas meja di capainya. Aku membiarkan Sofea membawa pergi bunga dan kad dari Imran. Imran, belum berakhir lagi kah semua ni?




bersambung.....

Thursday 27 September 2012

Benci dan cinta #18

Aku baring di katil sambil meletakkan tangan di dahi. Berfikir. Telefon bimbit sengaja aku matikan. Tidak mahu ada yang mengganggu jiwa. Siapa lagi yang selalu mengganggu jiwa kalau bukan Imran yang semakin menyakitkan hati. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 9 malam. Pintu bilik aku di ketuk. Aku melihat pintu bilik yang telah di buka. Mak masuk ke dalam bilik sambil tersenyum.

"Nak borak-borak kejap, boleh" heh. Aku tergelak melihat mak yang tiba-tiba nak minta izin. Aku membetulkan kedudukan aku di atas katil. Duduk tegak sambil menyandar di kepala katil . Mak pula duduk di tepi katil. Aku memberi ruang yang seluasnya untuk mak duduk dengan selesa. 

"Nak borak apa, mak? Pasal drama korea mak petang tadi ke?" usik aku. Mak memang suka sangat drama korea. Ada je masa dia mesti tengok. Kadang-kadang bukan drama korea saja, drama Indonesia, Filipina, Thailand semua dia sapu. Aku tergelak kecil.

"Tak delah. Drama korea tu sambung esok je lah. Ni nak cakap pasal tunang kamu ni" mendengar itu aku memuncungkan mulut. Mak ni spoil mood betullah.

"Kenapa pulak pasal dia"

"Tadi Imran telefon rumah. Dia tanya pasal apa kamu off telefon?Kamu berdua bergaduh lagi ke?" aku mengerutkan dahi. Aku pandang mak.

"Tak payah layan lah dia,mak" mak membeliakkan mata mendengar jawapan aku.

"Tak payah layan? Heh. Nurul Aleeya binti Muhammad Latiff. Awak tu dah nak kahwin dengan dia tak lama lagi. Sudah-sudah la bergaduh. Macam mana nak bina rumah tangga kalau asyik gaduh je" aku menghela nafas. Aku memaut kaki. Meletakkan dagu di atas lutut. Mak memandang tangan aku. Dia mengerutkan dahi.

"Pergelangan tangan kamu tu lebam kenapa?" Huh? Aku tengok pergelangan tangan aku. Mak memicit di tempat yang lebam.

"Mak sakit lah" aku menjerit kecil.

"Kenapa ni, huh?"

"Mak, Leeya tak nak kahwin dengan Imran tu mak" tiba-tiba aku merasa sebak. Air mata aku mengalir. Mak dah tengok pelik. Terkejut melihat aku yang tiba-tiba menangis. Walaupun aku rasa sudah seperti kanak-kanak kecil yang mengadu tak nak berkawan dengan kawan sekolah lelaki yang suka membuli. Tapi ini sahaja cara yang dapat aku ekspresikan yang aku benar-benar benci lelaki itu.

"Jangan lah kamu nak bergurau, Leeya. Bergaduh tu biasalah, takkanlah sampai tak nak teruskan perkahwinan ni"

"Biasa apa mak kalau dia dah sampai berani guna kekerasan. Kalau mak nak tahu, tangan ni lebam sebab dia lah" Mak mengurut-urut dada. Beristighfar. Terkejut dengan penjelasan aku.

"Ya Allah. Betulkah kamu ni? Kenapa pulak sesuka hati dia buat macam tu? Ni satu lagi. Kenapa senang-senang kamu biar dia pegang tangan kamu,huh? Baru bertunang dah macam ni" mak sudah melenting mendengar cerita aku. Ayah yang mendengar bising-bising di atas tiba-tiba muncul di pintu bilik. 

"Ni kenapa ni? Dari tadi lagi suara mak nya sampai ke bawah?" ayah bertanya di balik pintu. Tangisan aku mula mengendur.

"Ni awak mari sini tengok anaknya. Tangan nya dah lebam. Bakal menantu kesayangan awak tu punya kerja" 


"Apa yang dia dah buat pada kamu, Leeya?" aku menceritakan pada ayah dan mak perihal kejadian pada petang tadi. Tak terkecuali kisah Aliff yang di kasari oleh Imran di hospital. Ayah termenung mendengarnya. Mak juga terdiam. 

"Tak pelah. Tentang hal ni ayah akan fikirkan jalan penyelesaiannya. Tapi ayah nak tanya kamu. Kamu sebenarnya sukakan dia atau tak?"aku memuncungkan mulut mendengar pertanyaan dari ayah.

"Mak, ayah. Kalau Leeya mintak perkahwinan ni di batalkan. Mak dan ayah izinkan tak?" tanya aku dengan nada sebak. Mak memandang ayah. Ayah memandang mak. Aku memandang ayah kemudian beralih pada mak. Mengharapkan hubungan ini segera berakhir. Benar dan sungguh aku berharap dan berdoa. Semoga Imran tidak dijodohkan dengan aku. Sungguh-sungguh aku tak mahu.




Thursday 6 September 2012

Benci dan cinta #17


Seminggu kemudian, setelah aku keluar dari hospital. Mak dan ayah merancang untuk melangsungkan perkahwinan aku dan Imran. Tarikhnya telah di tetapkan pada bulan depan.  Aku semakin gelisah. Hal Imran yang mengasari Aliff tidak di khabarkan pada mak dan ayah. Imran memberi amaran pada aku supaya tidak memberitahu mereka. Kalau tidak, dia akan mencederakan Aliff lagi. Dan sejak hari aku pengsan itu, aku tidak lagi bertemu dengan Aliff. Mungkin Imran sudah memberi amaran pada Aliff.

Petang itu, Imran mengajak aku keluar. Ke shopping complex untuk mencari barang-barang hantaran. Kalau tak kerana mak yang bersungguh-sungguh menyuruh aku pergi, sungguh aku memang takkan pergi.

“Sayang, jom kita masuk kedai emas ni” mendengar ayatnya buat aku jeling ke atas.

“Boleh tak awak jangan panggil saya macam tu?Jijik” Imran memandang aku. Kenapa tak puas hati? Nak gaduh? Fikir aku dalam hati sambil membalas pandangan nya. Kemudian tiba-tiba dia tersenyum.

“Cantik pulak tengok sayang marah” aku mengetap bibir. Bengang. Tiba-tiba datang rancangan jahat dalam kepala.

“Erm…saya nak pergi toilet kejap. Awak pilih lah dulu" dan aku terus nak berlalu. Tapi belum sempat aku pergi, pergelangan tangan aku sudah dicekupnya. Kuat. Aku memandangnya dengan pandangan tak percaya. Sepertinya dia sedang mengawal emosinya.

“Saya dah lama sabar dengan awak. Jangan biar saya berkasar dengan awak kat sini. Saya dah tau taktik lapuk awak tu” dan dia terus menarik aku masuk ke dalam kedai. Aku terpaksa mengikutnya.

Dia mengarahkan pekerja kedai emas mengeluarkan cincin yang dipilihnya sendiri.

“Sayang, cuba try ni” aku hanya buat tak tahu. Melihat itu dengan kasar dia menarik tangan kiri aku dan memasukkan cincin pada jari aku. Sakit bodoh!

Dia melihat cincin di tanganku.

“Awak suka yang ni?” aku hanya diam. Buat tak tahu. Sakit hati. Sakit segala-galanya. Geram.

“Erm, tak pelah cik, nampaknya tunang saya ni tak suka cincin kat sini” bodoh. Aku menjelingnya. Dan dia menarik aku keluar dari kedai. Dengan kasar aku merentap tangan darinya.

“Imran, biar saya berterus terang dengan awak. Saya takkan berkahwin dengan awak. Saya tak pernah cintakan awak. Dan saya tak suka awak sesuka hati sentuh tangan saya, heret saya ke sana ke mari” Imran tidak terkejut mendengarnya. Wajahnya yang tiba-tiba membengis membuat aku jadi kecut perut.

“Kalau awak rasa tak nak hidup lagi. Berani lah awak batalkan majlis ni nanti” dia mengugut aku. Tiba-tiba dia menarik tangan aku dengan kasar.

"Lepaskan saya. Awak tahu tak sakit lah" aku sudah mengerang kesakitan. Orang ramai yang lalu lalang sudah tidak di pedulikan lagi. Aku jadi malu di tempat awam. Orang awam yang melihat kami hanya berbisik-bisik sambil menjeling-jeling melihat drama swasta apa yang sedang di lakonkan.

“Imran, lepaskan saya, okay-okay. Saya janji saya tak batalkan perkahwinan kita” aku cuba untuk berdiplomasi dengannya, melihatkan dia yang sudah di luar kawalan emosinya.

“Hey, perempuan, kau ingat aku bodoh?” dengan mengetap bibir dia menyumpah aku. Bodoh. Melihatkan perubahannya aku mula rasa tak sedap hati. Aku mesti lari dari dia.

“Saya betul-betul tak tipu. Please…kita tengok barang-barang lain, okay. Nanti apa kata mak kalau tengok kita balik dengan tangan kosong,please” aku cuba juga memujuknya. Riak wajahnya mula mengendur apabila mendengar rayuan aku.

“Okay” dengan nada mendatar dia membalas. Namun itu tidak bermakna tiada ancaman. Matanya masih tajam merenung aku. Kami kemudian menuju ke kedai baju. Bercadang untuk memilih beberapa helai baju kemeja. Jenama yang di gemarinya. Entah. Dia sendiri yang cakap. Aku tidak begitu ambil peduli. Sedang dia memilih-milih bajunya. Aku cuba cari jalan untuk lari. Tapi masih terlalu awal. Dia kerap memerhatikan aku. Aku pula berpura-pura sibuk melihat baju kemeja lelaki dan perempuan. Setelah beberapa minit memilih. Aku decide pilih sehelai baju kemeja berwarna biru terang. Itupun bukan dengan sepenuh hati aku memilih.

Kemudian aku mencadangkan kami pergi ke kedai perabot. Di sana kawasannya luas. Barang-barang pun banyak. Senang untuk aku melarikan diri nanti. Fikirku. Sesampainya di kedai perabot. Aku berpura-pura bertanya pada tauke harga salah satu katil yang di pamerkan di situ. Aku berjalan-jalan melihat perabot-perabot di dalam kedai. Berpura-pura teruja dengan setiap perabot di dalamnya. Aku yakin Imran terpedaya dengan lakonan aku. Bila aku lihat dia sibuk berbual dengan tauke kedai. Mungkin sedang berunding harga. Aku sengaja memilih katil yang agak mahal. Dan membiarkan mereka berunding harga. Biar Imran ralit dalam perbincangan mereka.

Aku rasa ni masa yang sesuai untuk lari. Perlahan-lahan aku keluar dari kedai perabot. Aku naik escalator menuju ke tingkat atas. Lalu menyelinap masuk ke kedai buku yang terletak di hujung sekali. Jantung aku betul-betul berdegup laju. Rasa ingin meletup. Aku menyorok di belakang rak buku. Mengeluarkan telefon bimbit aku.

“Aleeya” Imran memanggil nama Aleeya. Dia berpaling ke belakang. Melihatkan kelibat ALeeya yang tidak kelihatan, baru dia tersedar. Damn! Cepat-cepat dia keluar. Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Mesej dari Aleeya.

Aleeya
Maaf, Imran. Saya balik dulu.

Damn. Imran terus keluar dari bangunan shopping complex. Dengan fikiran yang mula berserabut. Imran mendapatkan keretanya. Dia kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya. Cuba menghubungi Aleeya. Tapi gagal. Telefon bimbit telah di matikan.

Saat ini, Imran pasti telah keluar mencari aku di perhentian bas atau teksi. Membayangkan Imran yang semakin berkasar dengan aku, membuatkan hati aku bertambah tawar. Tapi bila mengingatkan ugutan bunuhnya tadi, aku sudah membayangkan perkara yang tidak elok bakal berlaku. Perkahwinan ni mesti di batalkan. Aku tak sanggup hidup dengan manusia yang panas baran.

Beberapa minit kemudian aku bercadang mahu berjalan keluar dari belakang rak buku. Tiba-tiba aku ternampak kelibat Imran. Huh? Dia masih ada kat sini. Argh…aku segera menunduk. Kalau dia masuk dalam kedai ni. Memang nahas nanti aku dikerjakan.

Sedang aku menyorok. Aku terlanggar seseorang. Ah, alamak. Aku tidak menghiraukan orang yang aku langgar apabila kelibat Imran memasuki kedai buku sudah hampir menyentap jiwa aku.

“Aleeya?” mata aku terbeliak. Siapa pulak yang panggil aku nih.

“Aleeya!” Aku berpaling ke belakang. Aliff? Huh. Aku segera menyuruh Aliff diam.

“Kenapa…?” belum sempat Aliff bertanya lebih lanjut,aku memegang hujung lengan baju kemeja Aliff. Dia terkejut.

“Boleh bawak saya keluar dari sini?” Aliff terpinga-pinga dengan permintaan aku.

“Nanti saya ceritakan pada awak, please. Tolong bawak saya keluar dari sini”

“Oh, okay-okay”

Dan dia memimpin aku keluar. Imran meninjau keadaan di dalam kedai buku sebelum ternampak kelibat Aleeya dengan seorang lelaki yang cepat-cepat keluar dari pintu kedai.

“Aleeya!!!” Cepat-cepat Imran mengejar dari belakang.

Aliff segera menarik tangan aku. Kami cepat-cepat berjalan di sebalik orang ramai yang memenuhi ruang shopping complex.

“Tu tunang awak kan?”

Aku tidak membalas. Tapi segera mengerah Aliff berlari lebih laju lagi.

Masuk sahaja ke dalam kereta Aliff, dia terus memecut laju.

"Apa yang dia dah buat kat awak kali ni, huh?" akhirnya marah Aliff terhambur juga. Sudah seminggu dia memikirkan tentang Aleeya. Berasa risau tentang Aleeya yang selama ni dia ingat lelaki itu bakal membahagiakan hidup Aleeya. Tapi rupanya tidak. Lelaki yang panas baran. Aku memejamkan mata mendengar pertanyaan Aliff.

"Aliff, saya minta maaf atas tindakan kasar Imran pada awak hari tu. Saya tak berhenti fikirkan apa yang dia dah buat pada awak. Saya risau kalau dia cederakan awak" aku meluahkan rasa risau yang sudah lama tersimpan dalam hati sejak dari hari kejadian.

"Aleeya, saya boleh jaga diri saya. Awak tak perlu risaukan saya. Sekarang ni saya risaukan awak. Awak kena jauhkan diri dia. Maaf saya tahu dia tunang awak. Saya tahu awak sayangkan dia. Tapi saya tak sanggup tengok awak di tangan orang yang macam tu" aku tersentak mendengar kata-kata Aliff. Sayang?Dalam masa yang sama aku mahu tergelak.

"Huh. Kalau saya sayangkan dia. Takdek beza saya dengan dia. Sama-sama gila" akhirnya apa yang aku rasa tentang Imran terluah juga pada Aliff. Aliff memandang aku dengan rasa tidak percaya.

"Maksud awak?"

"Saya tak cintakan dia. Awak boleh tolong saya?" air mata aku mula mengalir dengan deras. Tangisan aku mula pecah. Sungguh, aku tak mahu teruskan hubungan ini. Aliff memberhentikan kereta di tepi jalan. Dia memandang aku. Lama.

"Saya akan tolong apa saja, Aleeya" aku mengetap bibir. Menahan rasa takut tentang majlis perkahwinan yang semakin dekat. Membayangkan mak dan ayah di rumah yang sudah bersiap-siap memanggil tukang membaiki rumah. Membayangkan Imran yang semakin kasar dan panas baran. Semuanya menyesakkan dada.


Benci dan cinta #16

Kedatangan Imran ke hospital secara tiba-tiba semalam entah kenapa menimbulkan suasana yang sangat kekok antara aku dan Aliff. Mungkinkah kerana perasaan bersalah pada Aliff yang merasuk hati. Dulu aku pernah mencintai abangnya. Tapi setelah 4 tahun Amer meninggalkan kami. Aku sudah pun bertunang. Kalaulah Aliff mengerti bukan begitu mudah untuk aku melupakan Amer dengan begitu sahaja. Hmm. Entahlah. Terasa separuh dari jiwa aku pergi. Aku hilang arah. Melihat itu, mak dan ayah bercadang mengenalkan aku dengan Imran. Lalu tanpa rela aku sepenuhnya, kami di tunangkan. Sungguh, aku tidak pernah mencintai Imran. Walaupun aku pernah cuba untuk mencintainya, tapi walau sebesar zarah pun aku tidak pernah ada hati padanya. 

Berseorangan di dalam wad membuatkan aku banyak berfikir tentang hal masa lalu sejak pertemuan aku dengan Aliff semalam. Mak dan ayah sudah pulang dari melawat aku pagi tadi. Imran. Aku tak benarkan dia datang. Kejamkah?Aku cuma tidak mahu di kongkong lagi. Puas kami bergaduh dalam telefon tadi menghalang dia datang. Aku beritahunya aku tak nak jumpa dia buat masa sekarang. Ya, aku tahu aku kejam. Aku dah warning dia sejak dari dulu lagi. Jangan paksa aku untuk mencintai dia. Dengan caranya yang selalu mengongkong aku. Aku tak fikir jiwa aku begitu mudah untuk menerima dia. Dan halnya aku kemalangan semalam pun disebabkan dia. Menyesakkan jiwa.

Aku lihat jam di dinding. Sudah pukul 12.30 tengah hari. Bosan. Tidak lama kemudian datang seorang nurse dengan membawa satu tray makanan. 

"Cik Aleeya. Makan tengah hari ni yea. Nanti dah habis makan. Makan ubat pulak, okay" nurse yang bernama Siti itu tersenyum manis pada aku. Aku mengucapkan terima kasih. Dan dia berlalu pergi.
Aku memandang makanan di hadapan. Tiada selera. Aku mencapai sudu dan garpu dan hanya menguis-nguis nasi di dalam tray. Kemudian mengambil sedikit isi ikan. Perlahan-lahan memasukkan dalam mulut. Tawar. Entah makanan ini yang terasa tawar atau lidah aku yang tawar. Aku meletakkan kembali sudu dan garpu ke tepi. Merenung makanan di depan kalau-kalau boleh buat aku kenyang sendiri tanpa perlu menyuapkan ke dalam mulut. Huh. Imaginasi.

Tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu bilik. Aku memandang ke arah pintu. Aliff? Aku cepat-cepat membetulkan tudung di kepala. Dia tersenyum manis. Membawa sebakul buah-buahan sambil menuju ke arah aku.

"Tengah lunch? Sorry ganggu" ucapnya lalu dengan selamba meletakkan bakul buah-buahan di meja tepi katil. Aku hanya melihat tindakannya dengan reaksi terkejut. 

"Erk..awak buat apa kat sini?"

"Nak melawat Aleeya lah. Kan saya dah janji semalam nak datang lagi hari ni" Oh. Dalam hati perasaan serba salah tiba-tiba muncul. Dia memandang makanan aku yang seperti tak terusik.

"Kenapa tak makan? Tak sedap ke?"

"Tak ada selera" ucap aku perlahan. Kenapalah dia datang lagi. Melihat wajah Aliff mengingatkan aku pada Amer. Hampir membunuh rasa dalam hati. Walaupun mereka tiada lah seiras kerana bukan adik beradik kandung. Tetapi keakraban mereka. Kasih sayang mereka berdua satu masa dulu tiba-tiba muncul dalam ingatan. Ianya menghiris hati aku nipis-nipis saat ini.

"Nak saya suapkan?"

"Huh?" aku terkejut dengan gurauannya. Kemudian dia tergelak. Aku membalas dengan tertawa kecil. Dah lama tak dengar usikan Aliff. Terasa rindu dengan masa lalu.

"Che che, you must be happy right now, kan? You should be happy. Saya lega awak dah boleh lupakan abang" aku mengetap bibir. Mendengar kata-kata itu dari Aliff buat aku rasa sebak. Betulkah aku sudah lupakan Amer. Sudah tentu lah tidak, Aliff.

"Aliff, awak buat apa sekarang? Since nampak awak dah banyak berubah. Mesti banyak kejayaan yang dah awak lalui kan?"

Aliff tersenyum lalu mengambil tempat di kerusi sebelah aku.

"Alhamdulillah. Selepas abang pergi. Saya menyerahkan diri pada papa" dia tergelak sebentar. Aku tersenyum. Memahami maksud kata-katanya.

"Papa suruh saya sambung belajar, dan saya sambung belajar dalam bidang perniagaan. Saya uruskan syarikat sebagaimana yang papa dan arwah abang harapkan sebelum ni. Tapi saya masih rasa kehilangan yang amat besar dalam hati. Dua orang terpenting dalam hidup saya pergi dan hilang dalam sekelip mata"

Aku mendengar dia bercerita. Dua orang terpenting? Entah kenapa riak wajahnya sedih tiba-tiba.

"Awak masih tak gembira dengan apa yang awak buat sekarang?" tanyaku. Sengaja menerka. Dia seperti kembali ke realiti dengan pertanyaan aku.

"Oh, saya gembira. Mengingatkan apa yang saya buat dapat mengembirakan papa dan juga arwah abang. Dan dapat mengembalikan ingatan saya pada abang. Saya sanggup apa saja" aku tertunduk mendengar kata-katanya. Adakah sebenarnya dia masih rasa terpaksa dengan apa yang dia buat?

"Che che...saya sangat rindukan dia" pandangan aku teralih pada Aliff. Aku rasa sebak.Aku pun masih rindukan dia. Cuma aku tak sanggup untuk menzahirkan rasa rindu itu. Kemudian dia tersenyum sambil memandang aku.

"Berjumpa che che hari ni, buat saya kembali ke tempat asal walaupun saya tahu tempat asal ni bukan lagi milik saya" aku terpana mendengar kata-katanya.

"Aliff, saya..."

"Aleeya!!" kedengaran pintu bilik di buak dengan kasar bersama satu suara yang cukup aku kenal. Imran. Melihat Aliff di sisi aku, wajah Imran kelihatan merah menahan marah. Aliff segera bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Imran buat tak tahu. Matanya tajam memandang aku.


"So, ni lah sebab kenapa awak tak bagi saya datang hari ni?" dengan kasar Imran bertanya. Riak wajah Aliff segera berubah mendengar pertanyaan Imran. Aku gelisah. Aku memandang Imran. Perasaan malu pada Aliff mula menular dalam hati.

"Imran, awak ni kenapa? Tiba-tiba datang sini dan buat bising. Sini hospital, awak sedar tak?" aku cuba untuk bercakap dengan baik tapi akhirnya aku sendiri tak dapat menyusun kata-kata terbaik. Pada saat ini, aku sedar kemarahan Imran bukan lagi biasa.

"Kau ni perempuan tak guna. Belakang aku kau main kayu tiga kan?"aku hampir terbahak mendengar kata-kata Imran. Aliff sudah memandang aku dengan pandangan tidak percaya. Aku cuba untuk bertenang.

"Imran, saya rasa awak ni penat. Baik awak balik dulu" aku cuba bercakap dengan tenang. Cuba memujuk Imran. Takut dia mengeluarkan kata-kata yang lebih menyakitkan hati dan telinga. Dalam masa yang sama Aliff masih di sini. Memerhatikan perbalahan kebudak-budakan Imran.

"Ehem, Encik Imran. Saya minta maaf. Saya datang sini sebab melawat Aleeya..." belum sempat Aliff menghabiskan kata-katanya. Imran dengan segera berpaling mencekup kolar baju Aliff. Mata Imran yang membengis menentang mata Aliff yang tenang.

"Imran, berhenti!!" aku menjerit melihat tindakan Imran

"Bukak telinga kau luas-luas. Aku bagi amaran kat kau. Jangan sesekali kau dekatkan diri dengan Aleeya. Di sebabkan kau sampai sekarang aku tak dapat hati dia, bodoh" aku memejamkan mata. Imran dah semakin gila. Aku turun dari katil perlahan-lahan. Kaki ku menggeletar. Aku menarik baju Imran.

"Imran, berhenti. Awak ni dah gila ke?" aku mengoncang-goncangkan lengan Imran. Dalam masa yang sama kepala aku terasa berat. Tangan aku menggeletar. Mungkin kerana perut yang masih kosong.

"Encik Imran, saya rasa awak dah salah faham" Aliff cuba untuk menenangkan Imran. Imran semakin mengetatkan pegangan kolar pada baju Aliff. Aliff menahan sakit. Aku cuba menarik lengan baju Imran. Menghalang Imran dari terus menyakitkan Aliff. Huh. Sudah tentu dengan keadaan aku yang sedang menggeletar berakhir dengan aku terjatuh kebelakang. Kepala aku terasa bergegar bila terjatuh ke lantai.

"Aleeya" jerit Aliff dalam keadaannya yang masih di cengkam Imran. Imran melepaskan Aliff dengan menolak nya ke belakang. Aliff terbatuk-batuk cuba bernafas. Imran cuba mendapatkan Aleeya.

Pandangan aku pada saat itu menjadi kabur. Kepala terasa berat. Memberatkan lagi bukaan mata. Dan berakhir dengan aku terdampar di lantai. Tidak sedarkan diri. Namun aku sempat berharap Imran tidak mengapa-apakan Aliff. Sehingga sebelum aku tidak sedarkan diri, aku memanggil nama Aliff tanpa sedar.




Benci dan cinta #15

Aku membuka mata. Pandangan aku kabur. Aku terpandang seseorang yang sedang duduk tegak di kerusi sebelah aku sambil memeluk tubuhnya. Aku mengerlipkan mata lagi. Kali ini pandangan jelas sedikit. Aku lihat seseorang yang jernih air wajahnya. Dengan janggut sedikit di dagu. Dan dia sedang memejamkan mata. Penat barangkali. Tapi siapa lelaki ini? Wajahnya begitu familiar. Tapi aku tidak dapat berfikir. Kepala terasa sakit. Argh. Aku menyentuh kepala aku. Berbalut. Namun dalam masa yang sama aku lega kerana kepala ku masih bertutup dengan tudung kepala aku. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu risau tentang auratku. Aku cuba mengingat apa yang terjadi tadi. Ya, aku kemalangan. Dan seseorang memanggil nama aku? Aku memandang lelaki di sebelah aku lagi. Siapakah dia? Lama aku memandangnya. Tiba-tiba perlahan-lahan dia membuka mata. Terpandang sahaja aku, riak wajahnya berubah ceria.

"Aleeya, awak dah sedar?" aku terpana. Otak masih ligat memproses maklumat di depan mata. 

"Kejap yea saya panggilkan doktor" dan dia terus berlalu. Beberapa minit kemudian seorang doktor datang bersama-sama dengan nurse. Setelah aku di periksa. Doktor berbual-bual dengan lelaki itu.

"Pesakit takde apa-apa, Encik Aliff. Semuanya selamat. Dia hanya cedera ringan di kepala. Dan tidak beri effect apa-apa pada otaknya. Tapi saya rasa baik Encik Aliff menghubungi keluarganya dengan segera" dan dia hanya mengangguk-angguk. Setelah mengucapkan terima kasih. Doktor berlalu dari bilik aku. Lelaki itu menuju ke arah aku. Dia tersenyum. Aku yang masih belum mengenali siapakah dia, segera mengalihkan pandangan ke sisi lain.Tiba-tiba teringatkan mak dan ayah. Mesti mereka sangat risau sekarang ni. Aku cuba untuk bangun dan mencari telefon bimbit aku.


"Aleeya, awak belum sihat lagi. Jangan banyak bergerak" tegur lelaki itu. Aku memandang lelaki itu dengan pandangan yang tidak selesa. Lelaki itu tergelak melihat reaksi aku.

"Che che, you don't remember me?" aku memandang lelaki itu dengan pandangan hairan pula kali ini. Che che? Aku berfikir lama. Sebelum pandangan aku teralih tepat pada dia. Aliff? Dia mengangguk sambil tersenyum. Aku terkejut tapi dalam masa yang sama rasa perasaan lama kembali bertamu di hati. It was Aliff. Aku tergelak kecil.


"Remember me now?" tanyanya lagi. Aku tersenyum.

Dia mengambil tempat duduk di sebelah aku. 

"Dah tenung saya lama-lama masa saya tidur tadi pun masih tak boleh cam lagi?" usiknya. Erk, kemudian aku mencebik.

"Awak dah lain" ucap aku perlahan. Sambil memandang dia. Dia nampak sangat matang.

"Makin handsome kan?" aku mencebik lagi.Perasan. Aliff mengeluarkan sesuatu dari poketnya. Telefon bimbit berwarna pink.

"Boleh awak tunjukkan saya nombor telefon mak atau ayah awak. Telefon awak ni ada security code. Saya tak dapat nak cari nombor family awak tadi" Oh, aku segera mengambil telefon bimbit aku di tangannya. Mencari nombor ayah. Aku tekan dail lalu letak di telinga aku sebelum Aliff merampas dari aku. 

"Biar saya cakap dengan ayah awak. Takkanlah nanti awak nak beritahu ayah awak. Ayah, saya accident dan ada kat hospital sekarang. Kaki tak berbalut. Kepala je berbalut. Pengsan ayah awak nanti" dan dia tergelak. Pandai pulak dia buat lawak.

"Ish, takkan lah saya nak cakap macam tu" omel aku. Aliff memberi isyarat menyuruh aku diam. Mungkin ayah sudah berada di talian.

Setelah menerangkan pada ayah beberapa minit kemudian. Aliff menyerahkan telefon kepada aku. Aku pula bercakap dengan ayah dan menyuruhnya usah bimbang sebab aku hanya cedera ringan sahaja.

"Tak sangka kita boleh berjumpa dengan cara macam ni,kan. Saya betul-betul risau bila tengok awak berlumuran darah tadi. Hampir berhenti jantung saya tau tak" ujarnay bersungguh. Aku tergamam. Kemudian aku hanya tergelak kecil.

"Macam mana awak boleh jumpa saya kat sana?" ya. Agak hairan. Setelah 4 tahun berlalu, akhirnya kami bertemu dengan cara yang tak di sangka-sangka. Padahal 4 tahun cukup lama untuk menemukan kami. Entah ke mana dia menghilang selama ini.

"Saya baru balik dari Jepun sebenarnya. Menguruskan urusan bisnes ayah di sana. 4 tahun saya menimba pengalaman di tanah asing. Bila balik sini, saya harap dapat cari orang yang saya rindui selama ni. Dan kami berjumpa dalam keadaan yang tak di sangka-sangka" Aliff tersenyum mengakhiri ceritanya. Orang yang di rindui? Aku kah orang yang di maksudkanya? Huh?

"Oh, jadi selama ini awak menghilang rupanya awak merantau ke Jepun?" dia mengangguk mendengar pertanyaan aku.

"Kenapa? Awak pernah cari saya?" tanyanya dengan gaya yang nakal. Sambil tersengih-sengih. Aku tergelak kecil mendengarnya. Usikannya tak pernah berubah. Selalu je perasan. Tapi jauh dalam sudut hati terbit juga rasa rindu. Yelah. Amer sudah tiada dan Aliff juga menghilang. Tanpa di sedari mereka berdua sudah sebati dalam diri aku. Perginya Amer membuatkan separuh dari jiwa aku pergi. Hilangnya Aliff membuatkan separuh dari diri aku pergi.

"Tak" ucapku pendek. Sengaja mengenakannya. Dia mencebik. Aku tergelak kecil.


"Aliff, saya rasa awak baliklah dulu. Awak nampak penat. Seharian kat sini. Saya dah okay. Kejap lagi family saya datang"

"Erm, okay lah. Jaga diri baik-baik. Esok saya datang lagi, okay" erm...esok? Tiba-tiba seseorang meluru masuk ke dalam wad aku.

"Aleeya, are you okay?" Imran? Argh..Aliff memandang Imran dengan pandangan penuh tanda tanya. 

"Saya okay lah" jawab aku denga nada yang tidak selesa.

"Ayah awak telefon saya tadi, kebetulan saya kat bandar, saya terus ke sini" ya ya. Entah kenapa hati aku terasa pedih. Aku pandang Aliff yang masih berdiri di situ. Imran mengalihkan pandangannya pada Aliff.

"Awak yang tolong tunang saya tadi kan? Terima kasih banyak-banyak" ucap Imran sambil mengoncang tangan Aliff.

"Ah, sama-sama" riak wajah Aliff berubah. Mungkin kerana mendengar perkataan tunang yang keluar dari mulut Imran tadi. Aku memejamkan mata sebentar. Entah kenapa rasa pelik. Mungkin rasa belum bersedia untuk mengenalkan Imran pada Aliff.

"Erm, Aleeya saya balik dululah. Jaga diri"

"Okay, terima kasih, Aliff" ucap aku pendek. Aliff segera berlalu dari situ. Aku memandangnya pergi. Terasa sayu.

"Macam mana awak boleh accident ni, sayang?" aku kembali  ke alam nyata. Aku mencebik. Buat-buat tanya. Menyampah tahu tak!