Saturday 29 September 2012

Benci dan Cinta #19

"Sayang, I'm sorry. Please jangan buat saya macam ni. Saya betul-betul sayangkan awak. Please"
Perjumpaan di cafe yang di penuhi dengan orang ramai membuatkan aku rasa lebih selesa. Juga yang lebih penting lebih selamat. Aku duduk berhadapan dengan Imran. Aku memeluk tubuh. Pandanganku dialih ke tingkap luar. Tidak mahu menatap wajah Imran. Tidak mahu. Menyampah. Suara Imran yang lebih lembut kali ini bagi aku hanya lah kepura-puraan untuk mengembalikan hubungan yang sudah aku putuskan beberapa hari yang lalu. Kepura-puraan menjadi manusia yang kononnya berhati lembut. Seorang gentlement. Konon.

"Sudah-sudah lah, Imran. Tolonglah terima kenyataan ni" luah aku. Aku menekankan setiap butir bicara supaya dia memahami yang aku benar-benar maksudkan perpisahan ini.

"Saya akan berubah. Demi awak saya akan berubah. Please" Demi aku? Huh. Tergelak kecil aku dalam hati. Tapi bukanlah gelak kerana rasa ianya kelakar. Lebih kepada kesal. Kesal.

"Tolong jangan berubah kerana saya. Saya bukanlah manusia yang patut awak sandarkan untuk berubah. Berubah lah demi Allah" Pandangan aku menuju ke arahnya. Memandang wajahnya yang tidak keruan buat aku rasa simpati. Bukan rasa simpati yang boleh membuatkan hati aku kembali untuk menerimanya. Tapi tiba-tiba rasa simpati ini wujud bila teringat kata-katanya setahun yang lalu.


"Aleeya, saya benar-benar berharap hubungan kita kekal hingga ke jinjang pelamin. Saya tahu awak gadis yang baik. Saya harap awak boleh terima kelemahan saya. Saya pernah kecewa banyak kali. Putus tunang dua kali. Kedua-duanya hubungan yang sudah lama saya jalinkan. Lebih dari 5 tahun. Kali ini saya tak ingin 5 tahun, 1 tahun pun saya tak sanggup"

Dan waktu itu adalah pada hari selepas aku di tunangkan dalam keadaan yang tidak aku rela sepenuh hati. Memenuhi niat kedua orang tua masa itu lebih utama. Tidak ingin melihat kedua orang tuaku susah hati melihatkan aku saban hari menangisi pemergian Amer. Dan kala itu juga, tiada apa yang sudah aku nampak. Menerima Imran pada masa itu mungkin perlahan-perlahan dapat mengubati hati yang parah. Tapi akhirnya, tiada rasa tenteram pun yang wujud dalam hati. Ingatan terhadap Amer lebih kuat menyala.

"Saya jatuh cinta pandang pertama pada awak. Saya mencintai awak tanpa sebab dan saya ingin hidup  dengan awak seumur hidup saya. Tidakkah cukup ini untuk melembutkan hati awak?" Aku memejamkan mata. Ayat ni. Sudah kali yang ke berapa aku dengar. Ayat ini. Buat aku bulu roma aku meremang.

"Imran, saya dah tak tahu macam mana nak terangkan kat awak lagi. Saya tak boleh terima awak. Sejak dari mula lagi. Saya bukan untuk awak. Awak carilah gadis lain yang lebih baik dari saya. Yang boleh mencintai dan menerima awak seadanya" Imran memandang kecewa pada aku. Namun, pandangannya masih tepat memandang aku. Mengharapkan apa yang aku katakan dusta semata-mata. Mungkin.

"Aleeya..."

"Imran, saya dah buat solat istikharah. Maaf. Dan saya sudah temukan jawapannya. Belajarlah untuk menerima kenyataan kali ini. Awak cubalah bukak hati untuk terima ketentuan dari Allah. Ada perancangan yang lebih baik sebenarnya dari dia. Cubalah percayakan Dia" entah kekuatan yang dari mana aku dapat untuk menasihati Imran. Nyata kekuatan ini sudah tentu dari Dia. Dalam masa yang sama aku juga rasa simpati. Aku tahu kesannya bagaimana. Sebab dengan ini bermakna sudah kali yang ke tiga dia menghadapi ujian yang sama. Aku simpati. Bukan aku tak punya hati.

"Dia sedang merancang yang lebih baik untuk awak...."

"Cukup" aku terkejut. Dia kelihatan sudah sesak dengan nasihat aku. Aku cuba bertenang.

"Tak perlu awak nak cakap banyak-banyak. Cara awak cakap macam saya ni dah tak guna lagi. Saya tak perlukan nasihat konon simpati macam tu lagi. Tapi awak jangan ingat saya akan senang-senang lepaskan awak. Ingat ni sampai bila-bila. Saya tetap akan dapatkan awak" dia mendengus kasar lalu bangun dengan ego meninggalkan cafe. Aku sudah terbeliak mendengar amarannya.

"Astaghfirullahalazim" aku mengurut dada. Rasa berdebar dan bimbang tiba-tiba menjalar dalam hati. Ya Allah, jauhkan lah aku dari sebarang bala bencana dan kejahatan manusia.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia "Yang menguasai sekalian manusia" Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. 
Surah An Nas (1-6)


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Seminggu telah berlalu. Pertunangan di putuskan. Perkahwinan juga di batalkan. Semuanya atas kehendak mak dan ayah. Dan juga harapan aku sendiri. Keluarga Imran juga redha dengan keputusan kami sekeluarga.  Cincin pertunangan juga telah dipulangkan. Imran sejak dari hari itu juga sudah menghilangkan diri. Aku terasa punya ruang untuk bernafas. Namun, jauh di sudut hati aku doakan Imran benar-benar tenang dengan keputusan ini. Semoga dia boleh belajar menerima ketentuan ini.

Aku menatap skrin laptop di hadapan. Menaip artikel wawancara bersama ahli perniagaan wanita yang terkenal. Kisah kejayaan seorang ibu tunggal dan berdikari yang menyara 3 orang anak yang masih kecil satu masa dahulu setelah pemergian suaminya. Memaksanya menguatkan semangat memulakan perniagaan kecil-kecilan. Membuat jualan langsung dari rumah ke rumah bukan sahaja memenatkan malah pengalaman biasa apabila dihalau, dimaki dan bermacam-macam lagi ujian yang membuatnya memaksa diri untuk terus kuat semangat demi tiga perut yang perlu diisi di rumah. Meninggalkan anak-anak kepada salah seorang jiran yang baik hati bukan tidak meluluhkan hati seorang ibu. Anak-anak yang semakin membesar dengan jarang-jarang dia di sisi bukan tidak meragut sebahagian dari jiwa keibuannya. Tetapi demi masa depan anak-anaknya nanti. Dia terpaksa butakan mata dan pekakkan telinga buat sementara. Namun, berkat usahanya itu akhirnya berjaya membuatkannya tersenyum sendiri. Anak-anak yang berjaya dan soleh. Dan sekarang masa bersama anak-anak dapat diluangkan. Perniagaan jualan langsungnya kini berjaya mendapat tempat di hati pembeli. Malah, dia berjaya membuka syarikatnya sendiri. Memasarkan produk-produk sendiri. Nyata segala usaha, penat lelah dan air mata yang mengalir selama ini tidak terbazir sia-sia. Dia bersyukur dengan kekuatan dan rezeki anugerah dari Allah s.w.t kepadanya.

"Leeya, buzy nampak" satu suara dari belakang hampir membuatkan jantung aku melompat. Aku mengurut dada sambil berpaling ke belakang. Sofea.

"Kau ni, kalau ye pun tak boleh bagi salam ke? Kalau aku kena heart attack kat sini macam mana?" Sofea mencebik bibir mendengar kata-kata aku. Ah, Sofea. Bukan makan saman minah ni.

"Sorry, dear" Sofea buat nada merajuk. Aku mencebik bibir melihatnya pula. Kemudian kami tergelak kecil. Sofea sudah menyandar cantik dekat meja aku. Mentang-mentang dia ada lesen besar kat sini. Anak saudara bos. Suka-suka hati dia je nak kacau orang.

"Hah, kau nak apa ni? Nak ajak gosip?" usik aku. Aku tergelak kecil memandang wajah Sofea. Dia satu-satunya kawan aku masa belajar di universiti dulu yang sama-sama bekerja dengan aku di syarikat ini. Mula-mula jumpa Sofea kat sini aku tahu hidup aku bakal ceria sentiasa. Tapi yang sangat mengejutkan aku bila dapat tahu dia anak saudara Tuan Arshad. Lagilah ceria Sofea kat sini. Bapa saudaranya sudahlah sporting. Namun dia masih dihormati kerana bila datang hal kerja, memang dia seorang yang tegas.

"Teman aku pergi shopping petang ni, boleh?" aku menjeling ke atas. Shopping lagi.

"Ala, please. Aku nak cari handbag baru. Minggu depan aku kena pergi majlis perkahwinan sepupu Syamir. Tak syoklah kalau asyik pakai handbag lama je" Heh. Handbag lama Sofea berapa lama lah sangat. Paling lama sebulan. Paling sekejap. Hmm...

"Aku ada idea untuk kau ni. Nak dengar tak?" aku mengangkat kening sebelah. Sofea mula rasa suspicious dengan gaya aku. Tapi kemudian dia cepat-cepat mengangguk.

"Okey, idea apa? Best ke?" laju je dia kalau bab bab nak bagi idea menghabiskan duit ni.

"Well, kau borong banyak-banyak terus handbag tu. Nanti senang tak payah nak keluar banyak-banyak kali. Jimat minyak kereta kau. Jimat lagi kalau beli banyak-banyak dapat diskaun. Atau dapat percuma beg baru,kan" Sofea mencekak pinggang.

"Amboi,amboi, kau ingat aku ni nak pergi beli handbag kat pasar malam ke, huh? Ala...please-please teman aku. Pleaseee" Aku tersenyum. Bila dah macam tu maknanya Sofea memang tengah kemaruk nak shopping.

"Yela yela, Sofea. Masa bila lah pulak aku pernah nak hancurkan harapan kau yang suci murni tu" akhirnya aku mengalah. Bukan tak nak temankan tapi sengaja nak tengok reaksi Sofea.

"Okey, sayang kau lebih lah, Leeya, hik" Bukan main sakan gembira. Asal kau bahagia, Sofea.

"Aleeya, Aleeya" terlihat Salim yang datang berlari-lari anak dengan muka yang tak dapat nak ditafsirkan. Sambil pegang sesuatu di belakangnya. Nampak macam gembira. Nampak macam cuak. Entah. Aku dan Sofea mula buat muka pelik. Salim berhenti berdekatan meja aku. Menarik nafas tercungap-cungap.

"Heh, Salim. Kau ni dah kenapa? Baru lepas jumpa hantu eh?" tiba-tiba Sofea menegur dengan tekaan entah apa-apa. Aku menjeling ke atas mendengar nya.

"Tak tak. Huh. Ni ha...tadaa" sejambak bunga di keluarkan dari belakangnya. Aku dan Sofea mula memandang antara satu sama lain. Bukan mereka tak tahu perangai gila-gila Salim ni. Tiba-tiba datang angin tak betul dia. Benda yang tak pernah dia buat pun boleh buat orang sakit jantung. Salah satunya ini.

"Eh, Salim. Mentang-mentang kau tahu Leeya ni dah putus tunang. Suka-suka hati je kau nak mengurat dia eh. Kau tahu tak kau kena lepas ujian aku dulu baru boleh ngorat Leeya" Salim menjeling pada Sofea.

"Eh, kau diam boleh tak?" Aku dah menggeleng-geleng kepala. Lagi satu, Sofea memang pantang jumpa Salim. Macam anjing dengan kucing.

"Apa hal sebenarnya ni Salim?" tanya aku. Mahu mengelakkan Sofea memanjangkan pertengkaran dengan Salim.

"Ada someone kasi bunga ni kat kau. Nah" Someone? Siapa?

"Siapa yang bagi?" tanya aku. Sofea sudah mengintai-intai bunga di tangan Salim. Dengan segera dia menarik kad pada balutan bunga. Sofea mengerut-ngerut dahi membaca tulisan di dalam kad. Sofea membeliakkan mata lalu memandang aku. Aku mengangkat kening sebelah.

"Siapa..?" tanya aku berhati-hati bila tengok gaya Sofea yang mencurigakan. Sofea menghulurkan kad kepada aku. Salim sudah mengintai-intai.

"Eh, kau pergi dok jauh-jauh boleh tak? Sibuk je nak baca kad orang" Sofea sudah memarahi Salim. Salim menjelir lidah pada Sofea sebelum berlalu pergi. Huh, buruk perangai. Tak padan dengan dah tua. Tua ke? Tua la jugak daripada budak-budak tadika. Aku berkerut membaca ayat-ayat berbunga dalam kad.


I love you more than thousands years
I'll wait you until your stone heart melt
I love you forever
I love you, sayang
                        
                                          Imran




"Macam cheezy je ayat dia. Dah. Meh aku buang bunga ni" Sofea menarik kad pada tangan aku. Bunga yang diletakkan kat atas meja di capainya. Aku membiarkan Sofea membawa pergi bunga dan kad dari Imran. Imran, belum berakhir lagi kah semua ni?




bersambung.....

No comments:

Post a Comment